Pengembaraan Hidup


Bukan Usaha Kita Sia-sia Tapi Kejayaan Lewat Tiba.. Wahai Manusia Bertahanlah

CIKGU ADILA

My photo
InsyaAllah perjalanan hidup masih lagi panjang dan pelbagai rintangan masih perlu diteruskan..ayuh semua mulakan hari dengan senyuman dan sebarkan aura positif kepada semua..

Friday, August 20, 2010

perkhemahan PULAKOPP







Laporan Perkhemahan Unit Beruniform

Tempat : Pusat Ko-Kurikulum Pulau Pinang
Tarikh : 22 Julai – 24 Julai 2010

Pada minggu lepas, satu perkhemahan telah diadakan di Pusat Kokurikulum Pulau Pinang (PULAKOPP) bersempena dengan aktiviti badan beruniform. Perkhemahan ini meilbatkan dua buah sekolah yang lain iaitu SK Bukit Teh dan SK Seri Tasek.
Perkhemahan ini dijalankan selama 3 hari 2 malam dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang mampu mencabar mental dan fizikal murid-murid.
Sebagai guru pengiring, saya ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan kebajikan murid-murid sewaktu berada di sini dan membantu jurulatih dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Pada hari pertama, murid-murid dan guru-guru berkumpul di dewan terbuka PULAKOPP bagi sesi pendaftaran. Selepas itu murid-murid dibahagikan kepada kumpulan yang telah ditetapkan mengikut khemah masing-masing.
Aktiviti malam pula dijalankan dengan program latihan dalam kumpulan (LDK) yang berkaitan dengan pengurusan masa dan disiplin diri. LDK ini dilihat dapat menyedarkan murid-murid tentang pentingnya masa, disiplin diri dan kerja berkumpulan.
Pada waktu pagi keesokan harinya pula, senaman pagi telah dijalankan sebelum memulakan aktiviti harian. Pada pagi ini saya telah berpeluang untuk mengendalikan senaman pagi dengan bantuan beberapa orang guru yang lain.
Seterusnya dijalankan aktiviti ‘wall climbing’ dan juga ‘flying fox’. Kedua-dua aktiviti ini dijalankan secara giliran antara murid lelaki dan murid perempuan. Aktiviti ini semestinya ingin menguji kekuatan fizikal dan mental murid secara keseluruhannya.
Pada waktu petang hari kedua, aktiviti rempuh halangan telah dilaksanakan. Dalam aktivti ini, murid-murid perlu menghabiskan 10 halangan yang telah disediakan iaitu tangga kambing, terowong gelap, tali terbang, titi hayun, besi pautan, tembok halangan, ‘spider web’, sarang buaya, spa Q dan kolam air. Saya telah ditugaskan membantu murid-murid untuk merentasi tembok halangan.
Pada waktu malamnya pula, telah dijalankan LDK 2 bagi meningkatkan keyakinan diri murid dan pemantapan jati diri. Di samping itu, pada malam ini juga terdapat aktiviti burung hantu, melalui aktiviti ini, murid-murid dapat memuhasabah diri di sampinh mengenali kekuatan dan kelemahan diri masing-masing.
Pada keesokan harinya, diadakan pula aktiviti memanjat Bukit Mertajam. Murid-murid dikehendaki untuk berjalan ke kaki bukit dari PULAKOPP dan mendaki separuh daripada bukit itu. Aktiviti ini ternyata begitu menarik minat murid dan dapat menguji jati diri masing-masing.
Secara kesimpulannya, perkhemahan ini telah memberikan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang baru kepada saya. Segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi akan digunakan sebaiknya apabila menjadi guru kelak.
Saya juga berpendapat bahawa aktiviti seperti ini perlu diteruskan kerana aktiviti luar bilik darjah juga boleh memupuk jati diri murid yang unggul secara tidak langsung.





1 comment:

  1. boleh x kami nak buat pinjaman khemah pada pusat koko pulau pinang

    ReplyDelete